Saifuddin kekal kawan baik saya - Nasrudin




KUALA LUMPUR: "Kita bertanding bukannya melawan batang tubuh calon itu, sebaliknya berhadapan dengan Barisan Nasional," tegas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan.

Beliau yang merupakan calon PAS di Parlimen Temerloh pada PRU13 berkata demikian sebagai mengulas keputusan BN mencalonkan semula penyandang kerusi tersebut, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sambil menyifatkan keputusan BN itu tidak mendatangkan masalah kepada beliau dalam usaha menarik undi penduduk Temerloh, Nasrudin berkata Saifuddin kekal sebagai kawan baik beliau.

"Saya tidak mempunyai masalah berhadapan dengan beliau, kerana saya berhadapan dengan BN, bukan batang tubuh calon itu sendiri. Dan dia kekal sebagai kawan baik saya," tegas beliau.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Saifuddin kerana terpilih sekali lagi di kerusi tersebut.

Beliau mengharapkan pertandingan antara beliau dengan Saifuddin ini berlangsung dalam suasana sihat, serta berpaksikan kepada politik matang, dan bukannya politik kasar.

Mengakui Saifuddin merupakan seorang tokoh yang disenangi lawan dan kawan, Nasrudin tidak sesekali merendah-rendahkan keupayaan Saifuddin.

"Namun saya tetap optimis Pakatan Rakyat mampu untuk mengatasi BN, lebih-lebih lagi ketika negara berada di ambang 'mood' untuk membuat perubahan," tambah beliau.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Saifuddin memperolehi 21,381 undi, menewaskan calon daripada PKR, Ahmad Nizam Hamid dengan majoriti 2,441.

Pada pilihan raya itu, jumlah pemilih yang berdaftar di parlimen tersebut sebanyak 54,010 pengundi.

No comments: